suria

Eaglexpress Dah Bayar 1.5 Bulan Gaji – Lembaga Pengarah

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) hanya melunaskan tunggakan gaji selama sebulan setengah berbanding dua bulan gaji seperti yang dinyatakan dalam memo daripada pihak pengurusan minggu lalu.

Pembayaran gaji itu disahkan oleh salah seorang ahli lembaga pengarah Eaglexpress kepada mStar Online.

Beliau yang enggan dikenali berkata, bayaran dibuat kepada kira-kira 300 kakitangan syarikat penerbangan itu sejak Rabu dan Khamis.

“Saya boleh mengesahkan gaji sebulan setengah telah dibayar kepada semua pekerja,” katanya tanpa memberikan butiran terperinci.

Ditanya mengenai dakwaan sebahagian pekerja hanya menerima sebulan gaji, ahli lembaga pengarah itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak boleh ulas buat masa ini. Setakat ini, apa yang boleh saya sahkan ialah syarikat telah bayar sebulan setengah gaji,” jelas ahli lembaga pengarah itu.


Pada 23 Jun lalu, satu memo dikeluarkan pihak pengurusan yang menyebut bahawa dua bulan gaji yang tertunggak iaitu April dan Mei akan dibayar pada 27 Jun (Isnin).

Bagaimanapun, ia sekadar janji tinggal janji apabila tiada bayaran dibuat ke dalam akaun bank pekerja pada hari berkenaan.

Ahli lembaga pengarah itu turut mengesahkan kelewatan itu disebabkan masalah teknikal membabitkan proses pembayaran dengan pihak bank.

Isu tunggakan gaji syarikat penerbangan itu mendapat perhatian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) yang mendesak pihak pengurusan supaya melunaskan tunggakan gaji dua bulan, serta gaji baharu bagi Jun, sebelum Aidilfitri.

Terdahulu, pada 20 Jun lalu, mStar Online mendedahkan sebuah syarikat penerbangan carter gagal membayar gaji pekerjanya termasuk tidak membuat caruman KWSP dan Perkeso.

Eaglexpress kemudiannya tampil mengakui tunggakan berlaku disebabkan syarikat itu mengalami masalah kewangan selama beberapa bulan sejak Februari lalu, tetapi masih membuat 'sebahagian bayaran kepada sebahagian pekerja'.

Eaglexpress merupakan syarikat penerbangan carter yang berpangkalan di Kuala Lumpur bagi perkhidmatan umrah dan haji sejak 2012. Antara penerbangannya ke Arab Saudi adalah dari Malaysia, Indonesia, Afrika Utara dan Timur Tengah.

Eaglexpress, Nufam, MTUC

Artikel Sebelum

Artikel Lain