suria

Polis Siasat Ugutan Bunuh Diterima Mangsa Tembak

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat ugutan yang diterima pengurus besar syarikat swasta yang cedera parah ditembak ketika memandu kereta di Lebuhraya Utara Selatan dekat Desa Petaling, awal pagi Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata hasil siasatan mendapati mangsa pernah diugut bunuh melalui panggilan telefon oleh seorang lelaki, dipercayai bekas suami kepada isterinya.

"Polis sedang mengesan individu yang membuat panggilan tersebut dan semua elemen lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan motif mangsa ditembak bagi mengesan suspek," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat ke-9 Sempena Aidilfitri 2016 di Plaza Tol Batu di sini,Khamis.

Katanya, polis telah mengambil keterangan isteri mangsa bagi membantu siasatan manakala mangsa berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Universiti Canselor Tuanku Mukhriz di sini.

Pada Rabu, mangsa cedera parah ditembak individu yang menaiki motosikal ketika memandu kereta di Lebuhraya Utara Selatan dekat Desa Petaling dari arah Seremban menuju ke ibu negara dalam kejadian pada 8.40 pagi.

Mangsa lelaki berusia 40 tahun itu terkena lima das tembakan daripada enam das tembakan yang dilepaskan oleh suspek di tangan kanan, leher kanan dan dada mangsa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain