suria

Guan Eng Masih Ketua Menteri P.Pinang

GEORGE TOWN: Kelihatan pucat daripada biasa, Lim Guan Eng, buat pertama kali telah berdepan pihak media sejak ditahan, Rabu.

"Buat masa ini, saya akan kekal sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Tetapi jawatankuasa DAP negeri akan mengadakan mesyuarat untuk membuat keputusan," katanya menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Ditanya sama ada beliau secara peribadi berpendapat dirinya perlu berundur, beliau berkata keputusan itu akan dibuat oleh parti.


Guan Eng mengekalkan pendiriannya bahawa beliau tidak bersalah dan menyatakan rasa kecewa dengan pendakwaan terhadapnya.

"Saya tidak melihat ini akan berlaku kerana kita memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan menjelaskan segala-galanya," katanya.

Ketika pertama kali bercakap di mikrofon, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, kedengaran letih, tetapi bersemangat apabila beliau mengisytiharkan bahawa beliau akan melawan kes ini sehingga akhir.

"Saya lebih rela mati berdiri daripada hidup melutut dan merayu," katanya pada sidang yang padat, diapit barisan pemimpin Pakatan Harapan.

Sidang akhbar itu diadakan di Dewan Bandaraya, kira-kira 150 meter dari mahkamah.

Guan Eng tidak memberitahu sama ada beliau telah diberikan katil atau makanan baik pada malam Rabu selepas ditahan dan menafikan bahawa beliau telah dipukul.

"Apabila kebebasan anda dinafikan, perkara-perkara itu tidak penting," katanya.

Artikel Lain