suria

Umno Semporna Masih Utuh

SETIA... Datuk Ramlee Marahaban (dua, kanan) bersama anggota jawatankuasa (AJK) Umno Semporna menyatakan pendirian mereka tetap bersama Umno selepas mengadakan sidang media pada Selasa. -fotoBERNAMA

KOTA KINABALU: Umno Bahagian Semporna masih utuh dan berfungsi seperti biasa walaupun beberapa anggota jawatankuasanya bertindak keluar dari parti itu semalam, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban.

Beliau berkata Umno Bahagian Semporna akan terus wujud kerana ramai pemimpin berkelayakan yang mampu menggalas tanggungjawab parti itu.

"Umno Semporna akan berfungsi seperti biasa kerana selain mempunyai Timbalan Ketua Umno Bahagian Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, naib-naib ketua Pemuda dan Wanita bahagian masih bersama Umno Semporna," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan Naib Ketua Umno Semporna Datuk Dr Jaujan Sambakong kononnya 300 cawangan Umno Bahagian Semporna bertindak keluar parti selepas Naib Presiden yang juga Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Afdal digantung keanggotaannya.

Semalam, Jaujan berkata selain dirinya, Ketua Pemuda Semporna Mohd Aziz Jamman, Ketua Wanita Manis Muka Dara dan Ketua Puteri Zakiah Kalipunya serta 300 ketua cawangan bahagian itu memutuskan keluar parti.

Keputusan itu dibuat selepas mereka menghadiri mesyuarat Anggota Jawatankuasa (AJK) bahagian itu yang dipengerusikan Jaujan, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan.

Bagaimanapun, Zakiah hari ini menafikan keluar dari Umno sebaliknya menegaskan bahawa beliau masih Ketua Puteri bahagian itu.

Ramlee mendakwa semalam, Mohd Shafie menganjurkan majlis berbuka puasa di kediamannya tetapi hanya kira-kira 50 ketua cawangan daripada 503 cawangan Umno yang menghadiri majlis itu.

Bagaimanapun, Mohd Shafie tiada di majlis itu kerana sedang menunaikan umrah di Makkah.

"Ramai di antara mereka tidak mengetahui tentang rancangan membuat pengumuman keluar Umno itu," katanya.

Menurutnya daripada 28 AJK Umno Bahagian Semporna, cuma 18 menghadiri majlis itu dan daripada jumlah itu, hanya lima atau enam adalah AJK yang memenangi jawatan dalam pemilihan parti manakala yang lainnya dilantik.

Umno, Shafie Apdal, Ramlee Marahaban

Artikel Lain