suria

Isu Penjenamaan Klia2: Ketua Kumpulan AirAsia Temui Menteri

Tony Fernandes.

KUALA LUMPUR: Ketua Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes akan menemui Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Selasa untuk membincangkan isu penjenamaan klia2.

Terdapat pertikaian yang berterusan antara Malaysia Airports Holdings Bhd dan AirAsia berhubung rancangan syarikat penerbangan itu untuk menjenamakan semula hab klia2 sebagai LCCT2.

"Kami faham bahawa kami tidak mempunyai hak untuk menamakan semula terminal itu tetapi kami masih mahu melaksanakannya sebagai strategi pemasaran untuk memaklumkan kepada dunia bahawa terminal itu tambang rendah," katanya kepada pemberita selepas acara Malaysia Pitch@Palace.

Fernandes menggesa Malaysia Airports bekerjasama dengan AirAsia dalam menarik lebih ramai pelancong untuk menggunakan klia2 sebagai terminal sambungan, menyatakan ini akan membawa kepada lebih banyak pekerjaan dan resit pelancongan.

Tambahan pula, katanya, klia2 mempunyai kekurangan integrasi dengan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur disebabkan tiada pengangkutan 'airside', dengan satu-satunya bentuk perhubungan adalah perkhidmatan ERL, yang mengenakan bayaran RM2.

"Ia merupakan satu-satunya lapangan terbang di dunia yang mengenakan bayaran untuk bergerak dari terminal. Itu tidak membantu integrasi.

"Kami membangkitkan isu ini selepas dua tahun (operasi klia2 bermula) kerana sebelum ini, kita tidak mempunyai sebarang produk sambungan dan segmen ini kini berkembang pesat," katanya.

Sebagai contoh, Fernandes berkata peningkatan jumlah pelancong melakukan penerbangan dengan AirAsia menggunakan klia2 sebagai terminal yang menghubungkan ke seluruh Asia Tenggara.

Malaysia Pitch@Palace, anjuran AirAsia dan Tune Labs, merupakan acara yang diasaskan oleh Duke of York Putera Andrew untuk menyokong syarikat permulaan tempatan dengan menghubungkan mereka dengan mentor dan eksekutif perniagaan utama.

Daripada 14 syarikat permulaan yang mengemukakan idea perniagaan mereka hari ini, dua - ChristyNgShoes dan Touristly - dipilih untuk acara akhir di St Jamess Palace di London pada akhir tahun ini. - BERNAMA

klia2, AirAsia, Tony Fernandes

Artikel Lain