suria

Pembantu Kedai Dihukum Penjara Lapan Tahun Kelar Warga Myanmar

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kedai makan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana cuba merompak dan menyebabkan kecederaan parah seorang rakyat Myanmar.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azian Othman menjatuhkan hukuman itu selepas Ariazulfakar Zakaria, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Ariazulfakar melakukan kesalahan itu di sebuah kafe siber di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada pukul 7.30 pagi, 28 Mei lalu.

Dalam rompakan itu, dia turut mencederakan seorang pemilik kedai warga Burma, Phun Uk, 26, yang terpaksa menerima 13 jahitan di atas kecederaannya.

Ariazulfakar didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata dengan niat untuk menyebabkan kematian atau kecederaan parah.

Ariazulfakar yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman minimum kerana terpaksa menjaga ibunya yang menghidap penyakit gout.

Dia turut memberitahu insaf atas perbuatannya itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry, bagaimanapun berkata Ariazulfakar menentang penahanannya pada 20 Jun yang lalu menunjukkan beliau tidak bertaubat.


Artikel Lain