suria

Duke of York Lawat Alice Smith School

Putera Andrew, the Duke of York berkata sesuatu kepada dua pelajar ketika mengadakan kunjungan ke Alice Smith School, Isnin. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Suasana gembira menyelubungi Alice Smith School di sini hari ini apabila sekolah itu menerima kunjungan Putera Andrew, the Duke of York.

Baginda tiba pada kira-kira 11.10 pagi dan dibawa meninjau sekitar sekolah itu dengan diiringi Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Britain Paul Rennie dan pengetua sekolah berkenan, Roger Schultz.

Dalam kunjungan sejam itu, Putera Andrew turut membuka tirai plak bagi menandakan perasmian Pusat Jubli sekolah berkenaan, melawat bilik darjah dan berucap pada perhimpunan sekolah.

Dalam ucapan baginda, Putera Andrew memberi semangat kepada pelajar supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang mereka belajar di sekolah yang tergolong sebagai antara yang paling berprestij di Malaysia.

"Semua kamu di sini hari ini adalah pembentuk masa depan ... sebab itulah kamu perlu bercita-cita tinggi, siapa tahu kamu mungkin akan menjadi pemimpin suatu hari kelak," titah baginda.

Ditubuhkan pada 1946 di Malaysia, The Alice Smith School adalah antara sekolah antarabangsa Britain tertua di Asia.

Putera Andrew mengucapkan tahniah kepada sekolah itu sempena sambutan ulang tahun ke-70nya tahun ini dan berharap ia akan terus menjadi antara institusi pendidikan terunggul di Malaysia.

Lawatan ke sekolah itu adalah sebahagian daripada rangka lawatan lima hari baginda di Malaysia.

Pada Ahad, baginda menghadiri majlis peringatan sempena Persidangan Liga Diraja Bekas Askar Negara Komanwel (RCEL) ke-32 di Makam Pahlawan di sini.

RCEL menganjurkan persidangan itu bagi anggota perwakilan dari negara anggota Komanwel setiap empat tahun dan tahun ini, Malaysia menjadi tuan rumah persidangan kali ke-32 itu dari 26 hingga 29 Jun.

Dalam rangka lawatan baginda, Putera Andrew juga akan mengadakan beberapa siri perbincngan anjuran Suruhanjaya Tinggi Britain bagi meningkatkan hubungan Britain-Malaysia dalam bidang pendidikan dan kemahiran, keusahawanan, sains dan inovasi, teknologi dan kejuruteraan.

Putera Andrew kemudiannya mengadakan pertemuan dengan mereka yang terlibat dengan Tabung Newton-Ungku Omar di Pusat Petrosains di Menara Berkembar Petronas.

Tabung itu merupakan usaha sama antara kerajaan Britain dan kerajaan Malaysia bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi di kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Tinggi Britain Vicki Treadell berkata sejak ditubuhkan pada 2014, tabung itu berkembang pesat, dengan beberapa aktiviti penyelidikan dan inovasi dilancarkan di Malaysia.

Putera Andrew juga mengunjungi pameran di Petrosains dan rakan pengasas Tabung Newton-Ungku Omar.

Baginda turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Dengue Tech Challenge 2016, inisiatif yang bertujuan menyokong cadangan pelaksanaan projek kerjasama melibatkan pakar dari Malaysia dan United Kingdom untuk memberi fokus terhadap usaha mengkomersialkan penyelidikan dan produk berkaitan denggi di Malaysia.

Artikel Lain