suria

Pesawat TUDM Tidak Dipintas Oleh Jet Pejuang Indonesia - Hishammuddin

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR: Pesawat C130 Tentera Udara Diraja  Malaysia (TUDM) tidak dipintas oleh jet pejuang Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara pada Sabtu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dalam kenyataan pada Isnin bahawa dua jet pejuang F-16 tentera udara Indonesia itu hanya membuat identifikasi visual ke atas pesawat MEGA 207 TUDM itu.

"Memintas akan membawa maksud memaksa pesawat MEGA 207 untuk mendarat. Ini tidak berlaku. Ia hanya melakukan identifikasi visual ke atas pesawat kita," katanya.

Beliau telah menerima "laporan ringkas" daripada Panglima TUDM Jen Tan Sri Roslan Saad mengenai insiden itu yang berlaku ketika pesawat Malaysia itu sedang dalam misi menjalani latihan berjadual.

Hishammuddin berkata: "Insiden ini tidak akan dipandang remeh ... kami akan terus mengggunakan laluan ini tanpa sebarang rasa ragu-ragu".

"Bagi pihak Malaysia, MEGA 207 menjalani misi latihan berjadual mengikut laluan penerbangan yang telah ditentukan lebih awal, menurut pelan penerbangan yang telah dihantar menggunakan Prosedur Operasi Standard sedia ada."

Mengikut perjanjian antara Malaysia dan Indonesia, Malaysia mempunyai hak melakukan "penerbangan berterusan, cepat dan cekap dan tanpa halangan" di ruang udara itu, kata Hishammuddin.

Katanya beliau akan membawa isu itu kepada perhatian Menteri Pertahanan Indonesia Jen Ryamizard Ryacudu pada bulan depan di Jakarta untuk menzahirkan  kebimbangan Malaysia.

"Walaupun kami berkongsi hubungan rapat, isu seperti ini perlu dibincangkan secara terbuka untuk memastikan kefahaman bersama di semua peringkat di kedua-dua negara," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain