suria

Dara Anggun Bela Nasib Keluarga Pencuri Produk Kosmetik

KOTA TINGGI: Nasib keluarga lima pesalah yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana mencuri produk kosmetik mendapat perhatian pengusaha barangan kecantikan jenama Dara Anggun apabila tampil menghulurkan sumbangan sempena Aidilfitri.

Diwakili pengasasnya, Rauzah Abdul Hadi serta Duta Dara Anggun yang juga pelakon, Sheera Iskandar, mereka berkunjung ke rumah keluarga terlibat yang serba kekurangan itu di Kampung Wak dekat Mersing itu.

Menurut pengeluar produk Glow Glowing Beauty Skin itu, sumbangan berkenaan bertujuan membantu meringankan beban keluarga berkenaan terutama bagi menjalani ibadah puasa dan menyambut 1 Syawal nanti.

"Walaupun perbuatan mereka salah daripada segi undang-undang, namun masyarakat tidak sepatutnya menghukum mereka, sebaliknya menjadikan ia sebagai satu pengajaran," kata usahawan syarikat Eniqworld Enterprise itu ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan itu di Mersing pada Jumaat.

Sementara itu, Siti Nuraisah Bustami, 18, yang juga anak sulung kepada pesalah, Zariah Zakariya, 37, berkata, dia tidak menyangka ibunya akan melakukan perbuatan sedemikian meskipun menyedari keluarganya hidup dalam serba kekurangan.

Katanya, walaupun mengaku bersalah, perbuatan ibunya, tiga saudara yang lain serta kakak iparnya menyebabkan mereka terpaksa merengkok dalam penjara, manakala tanggungjawab menjaga adik-adiknya kini terletak pada dirinya.

Malahan, Siti Nuraisah terpaksa berhenti kerja bagi menjaga adik-adiknya, Sahid Zairuddi, 15; Mohd Syaful, 11; Muhd Sahimi, 8; Muhamad Adam, 6 dan Mohd Shazlie, enam bulan.

"Saya berasa tertekan kerana setiap malam adik bongsu saya akan menangis mencari ibu kerana dia masih menyusu badan dan sering muntah jika diberi susu biasa.

"Tetapi saya tetap berpegang kepada janji dengan ibu untuk menjaga adik-adik walau apapun terjadi," katanya.

Tambahnya lagi, bapa mereka yang bekerja sebagai buruh hanya memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan dan ia tidak mencukupi  untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Sementara itu, Sheera Iskandar, 31, turut memberi bantuan selain sokongan moral terhadap keluarga yang kurang bernasib baik itu.

Dia yang sebak melihat keadaan keluarga yang dalam kesempitan itu turut meminta supaya lebih ramai pihak tampil bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

Pada 21 Jun lalu, Mahkamah Majistret di sini menjatuhi hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang ibu tunggal, tiga menantu perempuan dan seorang anak perempuannya kerana mencuri pelbagai barang kosmetik, di Bandar Tenggara di sini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap, Rohaya A Rahman, 57, tiga anaknya, Maimunah Che Abdullah, 26, Noriza, 39 dan Nurul Fatihah, 19, serta menantunya, Zariah  selepas mereka membuat pengakuan melakukan kesalahan itu.

Kesemua mereka yang menangis sejurus hukuman ditetapkan, didakwa secara bersama-sama mencuri di dalam bangunan dengan mengambil 17 barang kosmetik pelbagai jenama bernilai RM2,171.50 di kedai Produk Kesihatan dan Kecantikan Sri Tanjung, Jalan Anggerik 4/1, Taman Anggerik, Bandar Tenggara, di sini, kira-kira 11.40 pagi, 17 Jun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya boleh dipenjara dengan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel Lain