suria

Abu Hassan Dilantik Pemangku Ketua Umno Bahagian Jerlun Ganti Mukhriz

Gambar fail Datuk Abu Hassan Sharif.

ALOR SETAR: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sharif dilantik pemangku Ketua Umno Bahagian Jerlun bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang dipecat daripada Umno.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, DUN Ayer Hitam yang masih dipegang Mukhriz pula dijadikan DUN angkat badan perhubungan Umno negeri bagi memastikan nasib pengundi di DUN tersebut terus terbela.

"Tumpuan khusus akan diberikan saya sendiri bagi memastikan segala keperluan, agenda pembangunan dan kebajikan masyarakat di DUN berkenaan terus terbela," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Jumaat lalu, Majlis Tertinggi Umno sebulat suara memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini digantung sebagai Timbalan Presiden Umno dan Mukhriz berkuat kuasa serta-merta manakala Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula digantung keanggotaannya.

Muhyiddin dan Shafie sebelum ini digugurkan daripada Kabinet pada Julai 2015 manakala Muhkriz melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada Februari lepas.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata, pemecatan tersebut walaupun disifatkan sebagai 'ditelan mati emak dan diluah mati bapa' jelas menunjukkan Umno sebagai sebuah parti siasah yang cukup teguh tradisinya dengan amalan kesetiaan dan kebersamaan.

Umno Kedah katanya, sentiasa istiqamah dan menyokong penuh Majlis Kerja Tertinggi Umno dan kepimpinan parti demi kelangsungan.

"Amatlah dikesali setelah pelbagai ruang dan peluang diberikan kepada ketiga-tiga individu yang cukup banyak berjasa dan menyumbang, tiba-tiba boleh duduk semeja dan bersekongkol dengan parti pembangkang.

"..sehingga mewujudkan keresahan, kecelaruan dan perpecahan selain sifat berbelah bahagi dalam kalangan semua peringkat pimpinan dan ahli akar umbi," katanya. - Bernama

Artikel Lain