suria

Jangan Pertikai Mastura Keluar Rumah Demi Tugas - Zambry

IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Selasa meminta mana-mana pihak supaya tidak mempertikaikan tindakan Datin Mastura Mohd Yazid keluar rumah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat Kuala Kangsar dalam tempoh edah.

Beliau berkata Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria telah menjelaskan bahawa walaupun Mastura masih dalam edah, namun beliau dibenarkan keluar bertugas sekiranya mempunyai tuntutan yang memerlukannya bertemu rakyat.

"Mastura dibenarkan keluar rumah selagi dia tahu dalam tempoh edah empat bulan 10 hari, dia perlu menjalankan tugas dan menyelesaikan masalah rakyat.

"Umpamanya, sesebuah kampung menghadapi masalah, beliau perlu turun ke kampung itu untuk menyelesaikan masalah. Kalau saja-saja beliau nak turun, itu yang tak boleh," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini Selasa.

Akhbar pada Isnin melaporkan Harussani berkata Mastura dibenarkan keluar bertugas, namun perlu mematuhi syarat iaitu tidak boleh berhias dan menghormati dirinya yang ketika ini masih dalam tempoh edah kerana kematian suami.

Mastura, 55, kini dalam edah berikutan kematian suaminya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga Anggota Parlimen, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar 18 Jun lalu, Mastura yang mewakili Barisan Nasional menang setelah menyingkirkan tiga calon lain dengan majoriti 6,969 undi.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata kerajaan negeri bercadang menggubal enakmen yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap penggunaan tidak betul pingat, bintang dan darjah kebesaran sebagai mengikut jejak Melaka.

"Saya telah meminta penasihat undang-undang negeri untuk memperhalusi peruntukan enakmen yang perlu dibawa oleh negeri dan perkara itu akan dirujuk kepada peguam negara terlebih dahulu untuk mendapatkan pandangan lanjut.

Pada Isnin, persidangan Dewan Undangan (DUN) Negeri Melaka meluluskan pindaan terhadap Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) 1981 yang antara lain memperuntukkan hukuman denda lebih berat, terhadap mereka yang disabitkan kesalahan.

Melalui pindaan Enakmen berkenaan, denda bagi kesalahan penggunaan tidak betul pingat, bintang dan darjah kebesaran negeri Melaka dinaikkan daripada RM1,000 kepada antara RM250,000 dan RM500,000. - BERNAMA

Artikel Lain