suria

11,840 Kakitangan Bomba Dibeku Cuti Sempena Aidilfitri

KOTA TINGGI: Jabatan Bomba dan Penyelamat membekukan cuti 11,840 anggota dan pegawainya atau 80 peratus daripada kekuatan jentera bomba dan penyelamat di seluruh negara untuk musim perayaan Aidilfitri ini.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata pembekuan cuti sejumlah besar kakitangannya ialah perkara biasa dilakukan setiap musim perayaan supaya anggota dan pegawai bomba bersiap siaga sekiranya berlaku kecemasan.

"Jumlah keseluruhan anggota dan pegawai bomba di seluruh negara ialah 14,800 orang.

"Selain melakukan rondaan di beberapa lokasi panas di lebuh raya berisiko tinggi berlaku kebakaran dan kemalangan jalan raya, mereka turut melakukan rondaan di sekitar premis yang menjadi tumpuan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas majlis sentuhan kasih Ihya Ramadan Parlimen Tenggara di sini.

Halimah yang juga Anggota Parlimen Tenggara berkata pembekuan cuti terbabit merupakan antara pengorbanan dilakukan anggota dan pegawai bomba dan beliau  merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada mereka dan anggota keluarga.

Beliau berkata dalam masa yang sama, arahan juga sudah dikeluarkan seminggu sebelum Ramadan kepada setiap balai bomba supaya melakukan pemeriksaan bagi menentukan tahap keselamatan premis seperti pusat beli belah dan kawasan tumpuan awam, yang dijangka selesai dilakukan menjelang Aidilfitri.

Bomba, Aidilfitri

Artikel Lain