suria

Bayi Dicakar Kera Selamat Jalani Pembedahan

DUNGUN: Seorang bayi perempuan yang cedera di bahagian pipi kiri akibat dicakar kera selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Khaiffah Nurul Damia Qhalifa Syed Mohd Hishamudin, 8 bulan, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Bapanya, Syed Mohd Hishamudin Syed Mohd Yassin, 36, berkata pembedahan tersebut berlangsung selama lima jam, petang semalam dan pipi anaknya itu telah dijahit berikutan berlaku koyakan yang agak dalam.

"Syukur semua selamat...kesan koyakan itu pun dah dijahit dan anak kini juga sudah boleh makan dan minum selepas selesai menjalani pembedahan petang semalam," katanya kepada Bernama.

Khamis lalu, anaknya dicakar haiwan peliharaannya itu ketika mengikut ibunya ke belakang rumah mereka di Kampung Sungai Buaya kira-kira pukul 9 pagi.

Katanya ketika dua beranak tersebut melintasi kawasan itu secara tiba-tiba kera yang diikat pada sebatang tiang berhampiran kawasan rumah, bertindak melompat dan menarik rambut sebelum mencakar pipi anaknya itu.

"Isteri saya terpaksa menarik dan menghempas kera terbabit jatuh ke tanah dan anak ketika itu menjerit kesakitan dalam keadaan pipinya berdarah dengan banyak," katanya.

Beliau juga telah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menyerahkan haiwan yang dibelanya sejak tiga tahun lalu dan menyerahkan kepada budi bicara Perhilitan sama ada untuk melepaskan atau mempunyai alternatif lain bagi menangani kera yang semakin agresif itu.

Menurut Syed Mohd Hishamudin, insiden tersebut merupakan kali kedua berlaku, sebelum ini anaknya dicakar kera ketika berusia empat bulan di bahagian lengan.

"Saya akan lepaskan haiwan ini secepat mungkin dan serahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut...saya bimbang ia akan lebih agresif dan menyerang lagi," katanya.

Artikel Lain