suria

Bekas Ketua Umno Kuala Kangsar Buat Laporan Polis

KUALA KANGSAR: Bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar Datuk Ramly Zahari pada Sabtu membuat laporan polis mendakwa nombor telefon bimbitnya digodam pihak tidak bertanggungjawab dan menyebarkan kenyataan berbaur fitnah.

Katanya beliau menyedari perkara itu selepas menerima balasan 30 khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu tidak dikenali, kira-kira 10.30 Jumaat malam.

"Seorang lelaki menghubungi saya dan bertanyakan identiti saya selain mengatakan mengapa saya menghantar SMS seperti itu kepadanya.

"Dalam SMS itu, seolah-olah saya mengutuk dan menggelarkan mereka dengan pelbagai gelaran tidak elok jika mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan itu pada kira-kira 11 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, di sini.

Ramly berkata beliau terpaksa menamatkan talian telefon bimbitnya itu dan meminta siasatan dapat dilakukan bagi mengenal pasti individu yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata sebanyak 29 laporan polis dibuat sepanjang kempen PRK Parlimen Kuala Kangsar yang bermula pada 5 Jun lepas sehingga semalam.

Beliau berkata daripada jumlah itu tujuh kertas siasatan telah dibuka termasuk yang terbaru membabitkan kekecohan antara penyokong BN dan PAS semalam.

Katanya kekecohan di Taman Bunga Raya itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

"Polis akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin sebelum diserahkan kepada pengarah perundangan negeri untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, seorang penyokong BN Faizul Fadli Yaakob, 31, dilaporkan cedera di kepala selepas didakwa dipukul dengan kayu oleh seorang penyokong PAS.

Artikel Sebelum

Artikel Lain