suria

PLUS Nafi Jurutol Maut Insiden Treler Rempuh Pondok Tol

KUALA LUMPUR: Tiga pondok kutipan tol tunai di Plaza Tol Subang di Petaling Jaya mengalami kerosakan akibat dirempuh sebuah treler pada Selasa.

Bagaimanapun, kejadian sejurus selepas 3 petang itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa manakala pemandu treler itu mengalami cedera ringan. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din ketika dihubungi berkata, treler itu telah hilang kawalan sebelum merempuh dari arah belakang sebuah kereta dan sebuah ambulans serta pondok tol di satu lorong terlibat. 

Susulan itu, dua lagi pondok kutipan tol - satu daripadanya tidak beroperasi - turut terjejas akibat rempuhan itu.  

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi menafikan seorang jurutol maut dalam insiden itu selepas berita kemalangan berkenaan menjadi viral di media sosial. 

"Sejurus sebelum kejadian, jurutol di pondok tol yang dirempuh treler itu keluar membantu sebuah kereta yang menghadapi masalah di lorong Touch n' Go," kata jurucakap itu. 

Dalam pada itu, Mohd Zani berkata, permukaan jalan kering dan trafik juga tidak terlalu sibuk ketika kejadian. 

Beliau berkata, pemandu treler itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan. 

Kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

PLUS memaklumkan tiga lorong itu ditutup sementara kepada semua kenderaan untuk kerja baik pulih. - BERNAMA

PLUS

Artikel Lain