suria

Lebih RM1 Juta Naik Taraf Dua Kampung Orang Asli Di Kuala Kangsar

Antara rumah yang didiami penduduk Orang Asli Kampung Bukit Cermin dekat Kuala Kangsa selama ini.

KUALA KANGSAR: Kerajaan memperuntukkan lebih RM1 juta bagi menaik taraf jalan dan menambah baik kemudahan asas di perkampungan Orang Asli Kampung Ulu Bekor dan Kampung Bukit Cermin, dekat sini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu termasuk pembinaan 80 buah tandas di dua kawasan terbabit.

Beliau berkata, ia merupakan antara keperluan yang mendesak dan perlu diberi perhatian segera kerana banyak perumahan di kampung Orang Asli itu didapati tidak mempunyai tandas.

"Kami juga melihat beberapa keperluan lain seperti jalan raya perlu ditambah baik bagi keselamatan dan keselesaan pengguna.

"Segala kelengkapan dan kemudahan asas lain termasuk api (elektrik) dan air telah pun ada, cuma memerlukan beberapa penambahan dari segi aksesori seperti lampu jalan," katanya selepas menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Ulu Bekor dan Kampung Bukit Cermin, lewat Isnin malam.

Turut hadir anak-anak calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar iaitu Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 26, dan tiga lagi adik-adiknya, Wan Imar Izzat, 25, Wan Iskandar, 23, dan Wan Muhammad Amar, 19 tahun.

Ismail Sabri berkata selain bantuan penambahbaikan kemudahan di kawasan  perkampungan Orang Asli itu, penduduk yang terlibat dalam sektor pertanian juga diberi bantuan peralatan pertanian.

"Semua bantuan dan sumbangan ini diharap membantu masyarakat Orang Asli di sini, mereka ini antara penyokong tegar kerajaan BN kerana sedar bahawa begitu banyak keistimewaan yang telah dinikmati," katanya.

PRK Kuala Kangsar itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi (Parti Amanah Negara) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain