suria

Bendera Parti Berbeza Dengan Warna Logo Bukan Kesalahan - SPR

KUALA KANGSAR: Pemasangan bendera parti yang berbeza dengan logo parti bukan satu kesalahan mengikut undang-undang pilihan raya, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, tiada keperluan untuk memohon kelulusan daripada SPR bagi penggunaan bendera sesebuah parti.

Menurutnya, bagi bendera sesebuah parti politik atau pertubuhan, ia telah diluluskan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Sekiranya, kesalahan berkaitan bendera parti yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS), ia tertakluk kepada Seksyen 50 Akta Pertubuhan 1966 dan bukan di bawah undang-undang berkaitan pilihan raya, katanya.

"Oleh itu, tidak timbul isu penggunaan bendera berlainan warna dengan logo yang didaftarkan kerana apa yang dipaparkan dalam laman sesawang SPR adalah versi warna bagi simbol parti sahaja dan bukan simbol parti serta bentuk penggunaannya termasuklah pada bendera Parti Amanah Negara (Amanah)," katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas aduan yang dikemukakan PAS pada Isnin yang mendakwa parti Amanah memasang bendera yang berbeza dengan warna logo rasmi seperti yang disiarkan di laman sesawang rasmi SPR.

Mohd Hashim berkata, setiap parti telah mengemukakan simbol parti termasuk bentuk dan warna kepada SPR untuk kelulusan bagi penggunaan dalam pilihan raya. 

Beliau berkata, ini kerana parti yang memohon juga telah menghantar dua versi warna iaitu satu yang berwarna dan satu lagi dalam versi hitam putih.

"Versi ini juga telah diluluskan oleh RoS dan menjadi rujukan SPR sebelum diluluskan dan ia adalah selaras dengan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Perjalanan Pilihan Raya (PPPR) 1981," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, penggunaan bagi kertas undi hanya menggunakan cetakan warna hitam dan putih sahaja dan tiada cetakan warna yang diguna pakai bagi simbol parti seperti dalam laman sesawang SPR.

Katanya, SPR berkuasa untuk memantau penyalahgunaan simbol parti secara sendiri dan bukan ke atas penyalahgunaan bendera parti kerana bidang kuasa yang berbeza antara simbol dan bendera parti.

Mohd Hashim berkata, keadaan ini adalah berlainan dengan calon Bebas yang tiada simbol parti, maka penggunaan simbol  yang telah diberikan semasa hari cabutan kedudukan dalam kertas undi hendaklah dipatuhi sepenuhnya.

"Ini kerana ia adalah simbol yang telah diluluskan oleh SPR di bawah PPPR 1981 dan tidak boleh dipinda serta hendaklah sama dengan simbol yang telah diperuntukkan.

"Sekiranya parti berkenaan tidak mematuhi peraturan tersebut, tindakan akan diambil bagi pematuhannya," katanya. - Bernama

SPR

Artikel Lain