suria

Buruh Binaan Maut Tersepit Mesin Pembancuh Simen

JASIN: Seorang buruh binaan maut apabila tersepit di dalam mesin membancuh simen dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Lipat Kajang berhampiran sebuah kilang kaca di sini, pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Sampornak Ismail berkata, M. Arun Kumar, 19, maut selepas tersepit pada bilah mesin pembancuh simen ketika sedang membersihkan mesin berkenaan dalam kejadian pukul 11.30 pagi. 

"Polis menerima maklumat pukul 12.20 tengah hari dan siasatan awal mendapati lelaki berkenaan telah bekerja di tapak pembinaan berkenaan selama 13 hari.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Sementara itu, Pengawai Bomba Kanan I, K. Karupanan berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam mesin berkenaan.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Taman Kelubi Damai di sini mengalami kecederaan parah di bahagian perut kerana tersangkut pada bilah mesin berkenaan dan pihaknya terpaksa mengeluarkan mangsa dengan berhati-hati. - Bernama

Artikel Lain