suria

Penjawat Awam Antara 30 Yang Ditahan Dalam Op Sarang

ALOR SETAR: Penjawat awam berusia 41 tahun antara 30 yang ditahan kerana terbabit penyalahgunaan dadah dalam serbuan menerusi Op Sarang di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Takwa, Pokok Sena, Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata serbuan yang bermula 6.30 pagi hingga 1 tengah hari itu dijalankan oleh seorang pegawai dan sepasukan 10 anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Katanya mereka yang ditahan terdiri daripada 30 lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 64 tahun dan polis turut merampas 12 peket dadah jenis heroin dan satu peket dadah jenis ganja seberat 15 gram.

"Penjawat awam yang merupakan pekerja di sebuah jabatan kesihatan di daerah Kubang Pasu itu memberitahu ini merupakan kali ketiga dia ditahan sejak terbabit dengan dadah lima tahun lalu dan mengetahui kewujudan sarang dadah tersebut daripada rakan lain.

"Selain penjawat awam terbabit, polis turut menahan seorang lelaki berumur 31 tahun kerana mengedar dadah. Hasil pemeriksaan juga menemui sembilan peket dadah jenis heroin pada lelaki terbabit dan dipercayai dadah tersebut adalah untuk dijual di sekitar Pokok Sena," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Mohd Rozi berkata operasi dijalankan selepas hasil tinjauan sejak tiga bulan lalu yang penagih itu menggunakan kandang lembu dan pondok berhampiran sebagai markas untuk melepaskan gian.

"Kesemua mereka mula memasuki kawasan markas seawal 7.30 pagi secara berseorangan dan berpasangan dengan menaiki motosikal dan kereta. Ketika serbuan, ada yang cuba melarikan diri di kawasan bukit berhampiran namun berjaya ditahan," katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Kota Setar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

Artikel Lain