suria

Mungkin Wujud Kempen 'Reverse Psychology' Untuk Benci BN - Zahid

SUNGAI BESAR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan wujudnya kempen berbentuk 'reverse psychology' untuk memburukkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Naib Presiden BN itu menjelaskan 'reverse psychology' bermakna seseorang itu seolah-olah memberi pujian kepada BN tetapi sebenarnya menimbulkan kebencian terhadap parti itu.

"Kita harus faham dalam keadaan kempen pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk kaedah 'reverse psychology' untuk membenci BN," katanya dalam sidang media selepas melawat Markas Taktikal (MARTEK) di bu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan seorang wanita yang didakwa memuji BN dan pada masa sama memburukkan DAP dan PAS selepas solat Jumaat hari ini di sebuah masjid di Pasir Panjang di sini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata beliau akan menyiasat perkara itu dan jika benar ia dilakukan oleh anggota kempen BN, maka tindakan tegas akan diambil.

Dalam kunjungannya ke Sungai Besar hari ini, Ahmad Zahid turut mengagihkan 2,000 bungkus bubur lambuk tajaan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kepada orang ramai di sekitar bazar Ramadan Sekinchan.

Beliau turut meluangkan masa kira-kira sejam untuk melawat beberapa tapak perniagaan di bazar Ramadan berkenaan dan mengambil kesempatan beramah mesra bersama pengunjung bazar.

Selepas itu, beliau turut hadir ke program penerapan nilai-nilai murni Ramadan Al Mubarak dan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib bersama penduduk setempat di Masjid Nurul Falah, Tali Air Tujuh, Sekinchan.

Kira-kira 3,000 penduduk tempatan hadir untuk memeriahkan majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan calon BN, Budiman Mohd Zohdi.

Pada majlis itu, timbalan perdana menteri turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 orang anak yatim dan 300 golongan ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan golongan yang memerlukan bagi persiapan Aidilfitri.

Ahmad Zahid turut dijadual menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid As Saidah, Pasir Panjang, Sekinchan, dekat sini.

Zahid Hamidi, BN, PRK Sungai Besar

Artikel Lain