suria

Mahkamah Tolak Semakan Kehakiman Bekas Pegawai Kadet

Nurul Shamimi Zainul Ariffin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak semakan kehakiman seorang bekas pegawai kadet terhadap sebuah universiti awam kerana menamatkan pengajiannya kerana berkahwin.

Nurul Shamimi Zainul Ariffin, 24, memohon kepada mahkamah untuk mengkaji semula keputusan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menamatkan pengajiannya atas alasan bahawa dia melanggar perjanjian.

Pada Jumaat, Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas), Asmabi Mohamad memutuskan bahawa Nurul Shamimi secara sukarela menandatangani perjanjian dengan kerajaan pada tahun 2010.

Menerusi perjanjian itu, pemohon bersetuju untuk tidak terikat dengan mana-mana perkahwinan.

"Untuk menjalani latihan tentera, anda perlu melalui latihan fizikal yang mantap untuk kekal fokus dan cergas supaya bersedia menjadi seorang pegawai tentera.

"Ia juga termasuk dalam dasar responden (Majlis Angkatan Tentera) untuk tidak membenarkan pelatihnya berkahwin semasa latihan," katanya.

Hakim Asmabi berkata tiada pelanggaran prosedur dan tiada pelanggaran hak berlaku dalam tuntutan berkenaan.

Sebelum ini Nurul Shamimi yang ditawarkan pengajian di UPNM pada 4 September 2011 berkata beliau yang dibiayai oleh Kementerian Pertahanan Malaysia berstatus Pegawai Kadet menandatangani perjanjian dengan MAT yang tidak membenarkannya untuk berkahwin sepanjang tempoh pengajiannya.

Bekas pelajar Sarjana Muda Doktor Perubatan itu berkata UPNM menamatkan pengajiannya setelah bersetuju dengan keputusan MAT yang membatalkan pelantikannya sebagai Pegawai Kadet kerana melanggar perjanjian selepas mendapati beliau berkahwin di Thailand pada 2012 ketika berusia 21 tahun.

Nurul Shamimi, yang kini ahli farmasi memohon deklarasi bahawa perjanjian antara beliau dan kedua-dua responden yang menghalang perkahwinannya adalah tidak berperlembagaan, tidak sah serta bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon perintah deklarasi bahawa keputusan mesyuarat MAT pada 26 Ogos 2014 yang memutuskan bahawa pelantikannya sebagai pegawai kadet telah ditamatkan daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta dikenakan bayaran balik sebanyak RM83,998.66 adalah tidak sah dan tidak berkuat kuasa.

Artikel Lain