suria

Papan Iklan Berunsur Provokatif Langgar Etika Berkempen - SPR

Mohd Hashim Abdullah

SUNGAI BESAR: Tindakan memasang bahan kempen berbentuk papan iklan yang berunsur tohmahan dan provokatif terhadap sesebuah parti adalah amat tidak bertanggungjawab serta melanggar etika berkempen.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata tindakan sewajarnya akan diambil oleh Pasukan Penguatkuasa Pilihan Raya (PPKPR) untuk memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap pemasangan bahan kempen mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

"Pihak SPR sekali lagi mengingatkan bahawa perbuatan ini adalah bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. 

"Di bawah Seksyen 4A Akta ini, menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak sebelum, semasa dan selepas pilihan raya antaranya apabila melakukan apa-apa perbuatan atau penyataan bertujuan mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan yang jika didapati bersalah boleh dipenjara maksimum lima tahun atau didenda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau merujuk kepada tindakan menaikkan papan iklan berbaur perkauman dan fitnah di Sekinchan, di sini.

Polis pada Rabu mengesahkan menerima satu laporan berkaitan perkara itu. 

Menjelas lanjut, Mohd Hashim berkata sekiranya melihat kepada perkataan-perkataan pada papan iklan itu, jelas boleh termasuk di bawah perbuatan yang menyalahi seksyen tersebut.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan kempen pilihan raya yang ditetapkan dan sebarang pelanggaran terhadapnya boleh diambil tindakan sewajarnya.

"Berkempenlah secara bijaksana dan berhemah dengan menunjukkan semangat bertanding yang berlandaskan sikap saling menghormati sebagaimana ditunjukkan semasa hari penamaan calon tempoh hari," katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. 

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi; calon PAS yang juga ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman dan calon Parti Amanah Negara Azhar Abdul Shukur, yang mewakili Pakatan Harapan.  -Bernama

Papan Iklan, Porvokatif, SPR

Artikel Sebelum

Artikel Lain