suria

Ambil Pengajaran Kes Pedofil Huckle - PM

Richard Huckle dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah di London.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat mengambil pengajaran daripada kes pedofilia warga Britain, Richard Huckle bagi mencegah kanak-kanak Malaysia daripada menjadi mangsa serangan seksual.

Perdana Menteri berkata semua pihak perlu memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada situasi atau keadaan di mana orang yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas mereka.

"Mereka yang bertanggungjawab ke atas penjagaan kanak-kanak mestilah lebih prihatin dan peka bagi mencegah perbuatan terkutuk ini dari berlaku," kata Najib di laman Facebook.

Perdana menteri berkata beliau berasa amat marah dan sedih apabila mengetahui mengenai kes penderaan seksual ke atas kanak-kanak Malaysia oleh Huckle.

Huckle, 30, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah Britain selepas mengaku salah atas 71 pertuduhan penderaan seksual ke atas kanak-kanak di Malaysia.

Dia dikehendaki menjalani hukuman minimum penjara 25 tahun.

Dia dilapor melakukan pelbagai kesalahan bersifat seksual ke atas 200 kanak-kanak Malaysia berusia antara enam bulan dan 12 tahun, dari 2006 hingga 2014. - BERNAMA 

pedofilia, Richard Huckle

Artikel Lain