suria

DBKL Pantau Kebersihan Makanan Di Bazar Ramadan

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Ahmad Azlan Ahmad Khairuddin, menunjukkan sampel air minuman yang diambil bagi tujuan pemeriksaan pada Program Pemerikasaan Bazar Ramadan di Rumah Pangsa Awam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Kuching. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil 770 sampel makanan secara rawak dari 14 tapak bazar Ramadan terpilih di seluruh ibu kota bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

Pengarah Eksekutif Sosio-Ekonomi DBKL, Datuk Mohd Sauffi Muhammad berkata, ia bertujuan bagi memastikan makanan yang dijual di 89 tapak bazar Ramadan sentiasa berkualiti, bersih dan selamat dimakan.

Beliau berkata, sampel-sampel itu akan diambil itu mengikut makanan berisiko tinggi terdedah pada pencemaran bakteria susulan pengendalian makanan yang tidak mengikut piawaian.

Beliau berkata, operasi untuk persampelan makanan bermula dari Isnin sehingga 23 Jun manakala pemeriksaan sanitasi pula akan berterusan sehingga minggu akhir Ramadan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan operasi itu di Bazar Ramadan Jalan Kuching, di sini Isnin.

"Kesemua sampel makanan akan diuji di Makmal Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL dan peniaga yang gagal dalam hasil ujian itu akan dikenakan kompaun dan disenaraihitamkan," katanya.

Mohd Sauffi berkata tahun lepas, sebanyak 43 kompaun dan tindakan senarai hitam diambil terhadap penjaja bazar Ramadan kerana melanggar syarat dan garis panduan penyediaan makanan di bawah Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan 1979.

Beliau menasihatkan pengguna supaya lebih teliti membeli makanan dan memilih penjaja yang menititikberatkan kebersihan bagi mengelak keracunan makanan akibat makan juadah yang dibeli di bazar Ramadan.

Tahun ini, katanya, DBKL telah mengeluarkan hampir 6,000 lesen sementara untuk penjaja bazar Ramadan. - Bernama

DBKL

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain