suria

RUU Mahkamah Syariah: Liow Akan Bertemu PM

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat untuk mendapatkan pendirian Barisan Nasional (BN) mengenai Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Katanya, rang undang-undang yang dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Khamis lalu telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan kaum Cina dan menganggap RUU itu adalah hukum hudud.

"Saya akan bertemu Perdana Menteri untuk membincangkan RUU ini dan menerangkan pendirian ahli MCA mengenainya, dan saya pasti Perdana Menteri juga nak dengar pandangan dari parti komponen lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi) di Wisma MCA, di sini.

Terdahulu, sempena mesyuarat agung Kojadi, Liow mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan pinjaman tambahan RM50 juta kepada Kojadi untuk pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini.

"Mulai minggu depan, anggota PKS boleh memohon pinjaman ini, yang kita terima untuk tempoh setahun ini," katanya.

Beliau turut megumumkan Kojadi sedang melakukan permohonan kepada kerajaan untuk menjadikan koperasi itu sebagai sebuah bank koperasi.

"Kita akan mendapatkan lesen bank koperasi untuk membantu ahli-ahli koperasi terutama dalam kalangan usahawan muda, menjalankan perniagaan mereka, selain kita dapat merangsang ekonomi negara," katanya.

Hudud, MCA

Artikel Lain