suria

Tayar Celup Memang Berisiko Tinggi - Polis

PETALING JAYA: Penggunaan tayar celup dilihat berisiko tinggi yang boleh mengakibatkan berlaku kemalangan terutama di lebuh raya, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus.

Beliau berkata tayar celup mudah tertanggal di atas jalan raya berbanding tayar asli yang boleh membawa risiko kepada pengguna jalan raya lain.

"Bunga tayar celup tidak boleh bertahan lama dan ia akan tercabut seterusnya merbahayakan pengguna jalan raya seperti penunggang motosikal.

"Tindakan saman boleh dikenakan kepada mereka yang menggunakan tayar celup," katanya kepada pemberita pada Ops Bersepadu yang dijalankan di Hentian Sebelah Sungai Buloh arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan pada Sabtu.

Beliau berkata kenderaan berat dilihat gemar menggunakan tayar celup kerana ia lebih murah berbanding tayar asli.

Mahamad Akhir turut menasihatkan lori yang membawa kayu agar memastikan muatan mereka diikat rapi bagi mengelak terjatuh di atas jalan raya.

Mengenai operasi tersebut, beliau berkata 99 pegawai dan anggota pelbagai agensi menyertai operasi empat jam itu bermula 11 malam tadi.

"Sehingga pukul 1 pagi, sejumlah 33 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti memandu laju, tidak memakai topi keledar dan lain-lain lagi.

"Ia akan diteruskan untuk memastikan kemalangan jalan raya dapat dikurangkan," katanya.

Selain polis, agensi lain yang terlibat dalam operasi berkenan ialah ialah Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Jabatan Imigresen.

Artikel Lain