suria

43 Buah Sekolah Jadi Pusat Mengundi 18 Jun Ini

Mahdzir Khalid

SUNGAI BESAR:  Sejumlah 43 buah sekolah akan dijadikan pusat pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang diadakan serentak pada 18 Jun depan.   

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata untuk PRK Sungai Besar, sebanyak 24 sekolah akan digunakan, dan 19 sekolah bagi PRK Kuala Kangsar.

"Di Sungai Besar, sebanyak 18 sekolah yang digunakan adalah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) manakala enam sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).   

"Bagi kawasan Parlimen Kuala Kangsar pula, 19 sekolah yang terlibat kesemuanya adalah seliaan KPM," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembangunan pendidikan bagi daerah Sabak Bernam di Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan dekat sini pada Sabtu.  

Beliau berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi kedua-dua kawasan itu juga telah dimaklumkan untuk melakukan persediaan rapi bagi tujuan berkenaan.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata beberapa penambahbaikan melibatkan infrastruktur dan fizikal 24 buah sekolah di daerah Sabak Bernam akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.   

"PPD Sabak Bernam telah kemukakan rancangan projek penambahbaikan serta pembangunan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Ada sudah diluluskan namunada juga yang belum.   

"Antara projek yang sudah kita luluskan adalah projek pembinaan bangunan merangkumi enam hingga tujuh buah kelas selain pembaikan makmal," katanya kepada pemberita.   

Katanya, jumlah peruntukan yang bakal dibelanjakan bagi projek penambahbaikan itu adalah tertakluk kepada bajet tahunan yang diterima Kementerian Pendidikan.  

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.   

Turut terkorban dalam nahas itu ialah Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, suami Noriah, Asmuni Abdullah serta tiga yang lain termasuk juruterbang.   

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi manakala PAS meletakkan ADUN Meru yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman sebagai calon.  -Bernama

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar

Artikel Lain