suria

PAC Nafi Artikel Akhbar Wall Street Journal

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin menafikan bahawa pemilik Good Star Limited adalah Low Taek Jho atau Jho Low seperti yang dinyatakan oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ) dengan mengaitkan surat Bank Negara terhadap jawatankuasa itu. 

"Ini kerana Bank Negara Malaysia sendiri menyatakan maklumat yang diberikan adalah bertaraf risikan. PAC bukan badan perisikan dan maklumat yang diterima mestilah sahih dan benar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.  

Beliau berkata: "Disebabkan maklumat yang diterima PAC adalah bertaraf risikan, PAC tidak boleh memasukkan maklumat itu kerana ia bercanggah dengan tugas dan tanggungjawab dan boleh menimbulkan prejudis terhadap pelbagai pihak".

"Selain itu, Bank Negara Malaysia sendiri sudah menyatakan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah selesai dan syarikat berkenaan sudah dikenakan kompaun secara pentadbiran. 

"PAC juga telah membentangkan laporan ke Parlimen, oleh itu perkara ini telah selesai dan tidak perlu dipolitikkan," katanya.  -Bernama

Datuk Hasan Arifin, PAC, WSJ

Artikel Lain