suria

Seorang Maut, Dua Cedera Treler Balak Rempuh Kedai Makan

GUA MUSANG: Seorang maut, manakala dua cedera apabila sebuah treler balak terbabas sebelum merempuh kedai makan di Kilometer 41.2 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Bandar Chiku, di sini Khamis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superitendan Saiful Bahri Abdullah berkata, dalam kejadian 9 malam itu, Abdul Rahman Mohamed Zaidi, 23, mandur di Ladang Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Chalil di sini, maut di tempat kejadian.

"Dua yang cedera pemandu treler Ghazali Yazid, 56, dan pelanggan kedai makan, Yusman Azuan Syakri, 21," kata Saiful Bahri kepada pemberita, Khamis.

Beliau berkata kejadian dipercayai berpunca daripada masalah stereng treler yang tidak berfungsi sebelum kenderaan dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai itu hilang kawalan.

Treler itu turut melanggar sebuah Proton Wira dan tiga motosikal yang diletakkan di bahu jalan.

Saiful Bahri berkata mayat Abdul Rahman dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarganya dan dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam RKT Kesedar Chalil, 2 petang ini.

Mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama.-- Bernama

Bandar Chiku, balak, Kesedar

Artikel Lain