suria

Mayat Lelaki Dalam Beg Plastik Hitam Dibungkus Pukat Ditemui Di Penaga

KEPALA BATAS: Seorang lelaki dipercayai dibunuh dan mayatnya ditemui dalam beg plastik hitam yang dibungkus dengan pukat berhampiran bot nelayan di jeti Kuala Muda, Penaga, di sini Khamis malam.

Mayat lelaki itu ditemui pada pukul 9.20 malam dengan tangan terikat oleh seorang nelayan yang sedang membersihkan botnya untuk turun ke laut.

Kaki lelaki itu turut diikat dengan batu bata dipercayai untuk menenggelamkan mayatnya, namun kepala lelaki itu kelihatan di permukaan air.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Azmi Adam berkata polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri bersama mayat itu. 

"Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibuang di kawasan lain sebelum  dibawa ombak dan hanyut sehingga Kuala Muda," katanya ketika dihubungi di sini,Jumaat.

Azmi berkata mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

"Mayat lelaki itu dalam keadaan lengkap dan polis menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui bila dan punca kematian mangsa," katanya.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati penduduk di kawasan itu tidak  mengenali lelaki berkenaan dan dia dipercayai orang luar. 

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga atau rakan agar menghubungi balai polis berhampiran.-- Bernama

Penaga, pukat, Azmi Adam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain