suria

PRK Sg.Besar: Widia Wati Lebih Utama Bawa Pengundi Muda Pulang Banding Dipilih Calon

Widia Wati Abuzar -fotoSelangorPost

PETALING JAYA: Walaupun tersenarai antara calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, bagi Widia Wati Abuzar perkara utama yang menjadi kebimbangannya ketika ini adalah untuk memastikan pengundi muda pulang melaksanakan tanggungjawab pada 18 Jun ini.

Bagi Ketua Puteri Umno Bahagian Sungai Besar itu, beliau akur dengan sebarang keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi parti berkaitan calon.

Sehubungan itu, katanya, lebih mustahak jika tumpuan diberikan untuk mengatur strategi bagi memastikan pengundi muda kawasan itu pulang mengundi, berbanding memikirkan sama ada dia terpilih sebagai calon atau sebaliknya.

"Hal calon itu soal kemudian. Saya hanya ikut keputusan pucuk pimpinan.

"Apa yang lebih saya fikirkan sekarang adalah soal pengundi muda di luar kawasan untuk balik mengundi. Faktor itu lebih menjadi kebimbangan saya," katanya kepada mStar Online, Khamis.

Widia Wati berkata, data terkini menunjukkan majoriti 60 peratus pengundi dalam sayap itu tidak berada dalam kawasan pada masa ini.

Katanya, apa yang lebih membimbangkan apabila hari pengundian ditetapkan pada minggu kedua bulan Ramadan.

"Biasanya anak-anak (pengundi muda) yang berada di luar akan pulang pada awal Ramadan untuk sambut puasa dan akan pulang semula ke kampung halaman pada hari raya.

"Apa yang sedang kita lakukan sekarang ialah menghubungi mereka dan memujuk mereka pulang untuk mengundi," katanya sambil menambah Parlimen Sungai Besar mempunyai kira-kira 6,400 pengundi muda.

Mengulas lanjut mengenai namanya yang tersenarai antara tujuh calon yang dipertimbangkan kepimpinan parti, beliau berkata dirinya terlalu muda untuk bertanding.

"Saya terlalu muda untuk bertanding, tak banyak pengalaman. Banyak lagi perlu belajar," kata Widia Wati yang berusia 33 tahun itu.

Katanya, panyandang kerusi Datuk Noriah Kasnon adalah seorang pemimpin yang mesra rakyat dan disayangi ramai justeru penggantinya juga perlulah seorang yang 'kuat'.

"Susah nak cari pengganti yang sama macam arwah, penggantinya mestilah kuat.

"Tidak kira siapa atau apa jantinanya, yang penting orang itu boleh meneruskan legasi arwah," katanya.

Selain Widia Wati, calon lain yang disebut-sebut sebagai calon yang sedang dipertimbangkan adalah Setiausaha Sulit Kanan Noriah, Muslimin Yahaya; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi; dua Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian, Datuk Ishak Mat Arif dan Samad Wahab serta Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian Sungai Besar, Mohd Imran Tamrin.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos yang namanya turut disebut-sebut turut tersenarai antara calon bagaimanapun menafikan perkara itu.


Artikel Lain