suria

"Kita Tidak Perlu Jambatan Ketiga" - Dr Hilmi

GEORGE TOWN: Jambatan ketiga yang dicadangkan bagi menggantikan terowong dasar laut adalah tidak perlu kerana aliran trafik di jambatan kedua masih rendah.

Anggota Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata jambatan kedua yang menghubungkan Batu Maung dan Batu Kawan kurang digunakan kerana pada masa ini, jambatan tersebut mencatatkan hanya 40 peratus daripada jumlah trafik.

"Kita tidak memerlukan jambatan ketiga kerana jumlah penduduk negeri ini adalah kecil iaitu kira-kira 700,000 orang yang tinggal di bahagian pulau itu dan 1 juta tinggal di tanah besar," katanya semasa pertandingan memancing Balik Pulau di Pantai Pasir Panjang, dekat sini, Sabtu.

Dr Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, berkata jambatan ketiga itu akan menghubungkan Gurney Drive di George Town dengan Bagan Ajam di Butterworth, kedua-duanya kawasan sesak, dan menghubungkan kedua-dua kawasan itu akan meningkatkan aliran trafik dan menyebabkan kesesakan lebih teruk.

Semalam, Ketua Menteri Lim Guan Eng semasa menggulung ucapan terima kasih pada persidangan Dewan Undangan Negeri berkata jika Kerajaan Persekutuan meululuskan pembinaan jambatan ketiga, kerajaan negeri akan membatalkan projek jambatan ketiga.

Guan Eng juga berkata jambatan ketiga akan bebas tol untuk pengguna jika projek itu diluluskan.

Hilmi pembinaan jalan raya dan jambatan hanya akan mengurangkan masalah tarik untuk sementara sebelum ia menjadi lebih teruk lagi dan satu-satunya cara untuk mengurangkan kesesakan trafik ialah melalui penambahbaikan pengangkutan awam seperti yang dicadangkan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

"Pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel adalah opsyen yang bagus tetapi negeri ini perlu mencari jalan alternatif untuk membiayainya dan tidak melalui projek tambak laut di Permatang Damar Laut," katanya.

"Permatang Damar Laut adalah lubuk bagi ikan dan kebanyakan hidupan akuatik yang lain dan jika jika projek penambakan itu diteruskan, ia akan memusnahkan bukan sahaja alam sekitar tetapi juga menjejaskan kehidupan beribu-ribu keluarga," kata beliau.

Dr. Hilmi menekankan bahawa Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk membina kemudahan infrastruktur di Kuala Lumpur dan ia tidak memungkinkan bagi kerajaan negeri membiayai sendiri segala-galanya.

"Membina kemudahan infrastruktur untuk pengangkutan awam adalah tidak menguntungkan dan jika kerajaan Pulau Pinang meneruskan projek penambakan laut untuk mewujudkan tiga buah pulau buatan untuk membiayai PIP, bukan sahaja rakyat akan rugi tetapi juga kerajaan negeri," kataya.

Dr Hilmi menambah bahawa jika projek LRT dan monorel diluluskan, beliau menggesa kerajaan negeri memastikan bahawa landasannya tidak berada di atas bandaraya George Town yang bersejarah.

"Tempat bersejarah itu perlu dipelihara dengan apa cara sekalipun kerana jika tidak dijaga dengan baik, kita mungkin kehilangan status warisan dunia Unesco yang dianaugerahkan kepada kita," katanya.-- Bernama


Artikel Lain