suria

Pengarah Filem 'Teroka' Ketamakan Manusia Melalui Wang Kertas RM50

Salah satu adegan dalam filem pendek Greed yang dirakam bagi mendapatkan reaksi rakyat Malaysia terhadap wang kertas RM50 yang sengaja dijatuhkan dari poket pelakon.
PETALING JAYA: Wang kertas RM50 jatuh dari poket orang di depan anda!

Apakah langkah anda seterusnya? Adakah anda akan mengembalikan wang itu kepada pemiliknya atau ia akan masuk ke poket anda?

Pengarah filem merangkap produser, Jason Lim, 30, mengambil keputusan untuk membuat satu 'penerokaan' tentang tindak balas rakyat Malaysia dalam berdepan keadaan seperti ini tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Hasil rakaman sehari ini untuk filem Greed ini telah mendapat berjuta-juta tontonan seluruh dunia.

Filem lima minit ini bermula dengan wang dikeluarkan dari poket pelakon sebelum wang itu dikembalikan oleh orang ramai.

Bagaimanapun kemuncaknya berlaku apabila terdapat pengemis yang memanggil pelakon itu untuk memulangkan wangnya yang sengaja dijatuhkan itu.

"Itu adalah satu kejutan. Dia memerlukan wang lebih daripada orang lain. Apabila dia membuat keputusan untuk memulangkan wang itu, saya benar-benar terkejut," kata Lim dalam satu temubual.

Katanya, secara keseluruhan, kira-kira 60 peratus daripada rakyat Malaysia telah membuat keputusan untuk mengembalikan wang itu manakala 40 peratus lagi mengambilnya untuk simpanan sendiri.

"Sebenarnya ia tidak mengenal agama atau warna kulit. Tindakan anda menentukan siapa diri anda," kata Lim.

Lim menganggarkan bahawa hampir RM1,000 telah 'hilang' di tangan mereka yang mengambil wang itu, tetapi ia dianggap berbaloi kerana beliau sebenarnya telah berjaya mengupah 'pelakon sebenar' dalam kehidupan.

Filem-filem beliau yang lain telah menyentuh pelbagai isu lain seperti bagaimana orang buta dilayan, penderaan haiwan, etika pemanduan dan perkauman.

Filem terbarunya Not My Problem meneliti reaksi rakyat Malaysia apabila dua pelajar sekolah bergaduh di hadapan mereka.

Video yang dirakamkan Lim secara amnya mendapat pujian ramai kerana mampu menonjolkan kekurangan kesedaran sivik di kalangan masyarakat sekeliling.

"Matlamat saya adalah menggunakan filem sebagai medium untuk mendidik orang ramai dan membuatkan orang ramai dapat berfikir bagaimana dunia ini boleh menjadi satu tempat yang lebih baik," katanya.

Artikel Lain