suria

Dua Kenderaan Terbakar Akibat Bom Petrol

- Gambar hiasan
IPOH: Dua buah kereta yang diletakkan di halaman sebuah rumah di Lapangan Perdana 24, Panorama Lapangan Perdana, di sini terbakar sebahagiannya akibat terkena lontaran bom petrol awal hari Sabtu.


Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohd Nor Rasid berkata dalam kejadian  kira-kira pukul 3.50 pagi, kedua-dua buah kenderaan jenis Toyota Vios dan Mercedes Benz milik Woon Tat Wooi, 50, yang diletakkan di halaman rumahnya, hangus terbakar di bahagian enjin.

"Ketika kejadian, mangsa yang merupakan seorang pemilik bengkel kenderaan di Kuala Terla, Cameron Highlands, terdengar bunyi alat penggera keselamatan sebaik membuka pintu rumah.

"Mangsa terlihat kedua-dua kereta miliknya terbakar," katanya dalam satu kenyataan di sini Sabtu.


Mohd Nor berkata hasil pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kereta jenis Proton Satria yang dinaiki dua lelaki telah melakukan perbuatan khianat dengan membaling beberapa bom petrol ke arah kereta mangsa.


Beliau berkata pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan kini sedang giat memburu kedua-dua suspek. 
Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Artikel Lain