suria

Dua Lelaki Mati Ditembak Polis Di Rawang

RAWANG: Dua lelaki mati ditembak pasukan polis dalam kejadian tembak-menembak di Jalan Lagong, Rawang awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata dalam kejadian pada 3 pagi itu, pasukan D9 yang melakukan rondaan cegah jenayah di tapak Pasar Malam Kundang terserempak dengan kereta jenis Waja dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

"Polis mengekori suspek sejauh kira-kira dua kilometer dan mengepung kereta suspek bagi memberhentikan suspek namun secara tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dari arah kereta itu yang terbabas di selekoh jalan.

"Sebaik turun dari kenderaan mereka, kedua-dua suspek sekali lagi melepaskan beberapa tembakan ke arah pasukan polis, menyebabkan polis turut melepaskan tembakan balas ke arah dua suspek berusia 40 dan 41 tahun itu," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, Ahad.

Mohd Adnan berkata kedua-dua suspek yang berasal dari Kepong dan Sungai Buloh itu terkena tembakan dan mati di tempat kejadian. 

Mohd Adnan berkata seorang daripada suspek dikehendaki polis kerana mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan mencuri dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta yang dipandu suspek mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Sungai Jarum pada tahun 2014. 

Pemeriksaan lanjut turut menemukan dua pucuk pistol, lima butir peluru, sebilah parang, dua bilah pisau, sarung tangan, topeng muka serta satu papan nombor plat kereta dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah, katanya. 

Mohd Adnan berkata polis juga tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dalam kegiatan kongsi gelap.

Beliau berkata kedua-dua suspek dibawa ke Hospital Sungai Buloh dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain