suria

Denda RM1,000 Jika Enggan Asingkan Sisa Di Punca

Timbalan Ketua Eksekutif (Pengurusan) AWCorp. Datuk Zainul Abidin Abdullah (tiga, kiri) berkata sesuatu kepada Pengurus Besar Operasi Alam Flora Darwishah Osman (kanan) pada majlis Eco Rangers Kembali di Kompleks Sukan Bangsar, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan mengenakan kompaun maksimum sehingga RM1,000 kepada mereka yang enggan melaksanakan pengasingan sisa di punca mulai 1 Jun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp Datuk Zainul Abidin Abdullah berkata pelaksanaan sisa di punca tersebut telah bermula secara berperingkat sejak 1 September tahun lalu namun tidak dikenakan denda.

"Ini adalah bagi memberi ruang kepada orang ramai untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengasingkan sisa pepejal mereka.

"Setakat ini, ia menunjukan kerjasama yang sangat baik daripada persatuan penduduk... Dengan adanya denda kompaun ini ia dilihat akan lebih meningkatkan lagi kesedaran orang ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Eco Rangers Alam Flora' di Kompleks Sukan Bangsar, di sini, Sabtu.

Pelaksanaan peraturan tersebut adalah di bawah Akta 672 yang hanya berkuat kuasa di beberapa negeri antaranya Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah, katanya. 

Zainul berkata program itu dijangka meningkatkan kadar kitar semula melebihi 22 peratus menjelang tahun 2020.

"Sejak September tahun lalu hingga April lepas, sebanyak 250,000 kilogram jumlah bahan kitar semula berjaya dikutip.

"Ia sudah mencapai 15 peratus kadar kitar semula dan dijangkakan akan mencapai sasaran 22 peratus sebelum masa yang ditetapkan," katanya.

Mengulas mengenai program tersebut, Pengurus Besar Operasi Alam Flora Darwishah Osman berkata tujuan utama skuad 'Eco Rangers Alam Flora' kembali semula ke kawasan-kawasan yang pernah dikunjungi sepanjang tahun lalu adalah bagi memantau aktiviti perkembangan sisa penduduk setempat.

"Ini adalah bagi memastikan orang ramai sentiasa mengamalkan pengasingan sisa selepas diberi tunjuk ajar dan pendidikan mengenainya.

"Di samping itu, kami juga akan membuat penerangan lanjut mengenai denda kompaun yang akan dikenakan oleh SWCorp," katanya.-- Bernama

Artikel Lain