suria

PRK Sungai Besar: "Kita Ada Calon Tapi Akur Keputusan" - Shahrizat

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika majlis tahlil untuk Allahyarham Datuk Noriah Kasnon di Sungai Besar.

SABAK BERNAM: Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberitahu bahawa terdapat calon dari sayap parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Beliau bagaimanapun berkata, sebarang keputusan bergantung kepada presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Memang kita ada tetapi presiden parti akan mengambil kira senario yang ada pada hari ini di Sungai Besar.

"Kita terima siapa jua yang presiden calonkan, biar beliau yang putuskan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Wanita Umno Bahagian Sungai Besar di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai calon dari sayap parti bagi PRK Parlimen Sungai Besar bagi menggantikan penyandangnya, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian kawasan itu.

Secara realistik, kata Shahrizat, beliau sudah tentu mahu calon dari Wanita Umno yang akan bertanding tetapi perlu menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa pula berkata, mengikut perlembagaan parti, pimpinan bahagian boleh mengemukakan cadangan calon kepada presiden yang akan membuat pemilihan.

Mengambil contoh kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini, Annuar menjelaskan bahawa solidariti parti bersama pucuk pimpinan merupakan kunci kepada kejayaan itu.

"Tidak timbul soal calon dari siapa-siapa tetapi kita akan mengemukakan cadangan.

"Keazaman kami adalah bersolidariti dengan pucuk pimpinan parti dan Barisan Nasional, dan siapa sahaja yang akan dipilih," katanya.

Allahyarham Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi maut bersama lima yang lain dalam nahas helikopter di Sarawak, minggu lalu.

Majlis tahlil buat Allahyarham Noriah turut diadakan selepas mesyuarat itu pada Khamis.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos dan pemangku Ketua Wanita Umno Bahagian, Zubidah Maskor.

Umno

Artikel Lain