suria

Perhilitan Siasat Kematian Gajah

Bangkai seekor gajah dewasa tanpa gading yang ditemui mati dipercayai dibunuh oleh pemburu haram di Charok Jit, Tasik Pedu Selasa. 
Bangkai gajah yang tidak diketahui jantinanya dipercayai mati lebih dua minggu lepas sebelum ditemui sekumpulan pemancing.
 -fotoBERNAMA
KUALA NERANG: Sampel daripada bangkai gajah yang ditemui di Tasik Pedu telah diambil oleh pasukan forensik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menentukan punca kematiannya.

Pengarah Perhilitan negeri, Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi berkata, pasukan itu telah membawa sampel itu balik ke ibu pejabat di Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

"Kami masih tidak dapat petunjuk tentang kematian gajah itu," katanya.

The Star melawat tapak di mana bangkai itu ditemui, diiringi oleh seorang nelayan berusia 60 tahun, Abu Othman Ibrahim yang berkata beliau banyak kali melihat gajah-gajah berkeliaran kawasan itu.

"Saya rasa saya baru saja nampak seekor gajah dua bulan lalu dan ia nampak sihat pada masa itu.

"Dua minggu kemudian, saya dapati ia telah mati dan terapung di tasik.

"Minggu lepas, saya jumpa bangkai lagi. Kali ini di tebing sungai di sebuah kawasan bernama Charok Jaik.

"Saya dapati banyak kesan tapak kaki gajah yang menuju ke arah bangkai itu, saya percaya haiwan ini telah memeriksa rakan mereka yang mati," katanya.

Abu Othman berkata tidak mungkin pemburu haram telah membunuh gajah itu kerana beberapa nelayan pernah ternampak gajah yang berjalan dalam keadaan tidak stabil dan nampak tidak sihat kira-kira dua bulan lepas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri Datuk Dr Leong Yong Kong berkata bangkai itu tidak disentuh bagi mengikut prosedur operasi standard Jabatan Hidupan Liar.

Beliau menambah bahawa pemeriksaan tidak menunjukkan sebarang kesan tembakan pada bangkai.
bangkai gajah, Perhilitan, Tasik Pedu

Artikel Lain