suria

Air Sungai Golok Susut, ATM Perketat Kawalan

KOTA BAHARU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan ekoran penurunan paras air Sungai Golok, kesan daripada fenomena El-Nino.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata tugas mengawal sempadan negara itu adalah di bawah tanggungjawab Divisyen Ke-2 Infantri Malaysia dan pasukan sedia ada akan ditugaskan membuat rondaan dengan lebih kerap.

"Setakat ini, kita dapati laporan dan hasil yang diperoleh amat memuaskan, ini bermakna kegiatan aktiviti penyeludupan daripada yang sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya, kita akan pantau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan Inspektor Jeneral Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Ab Aziz Abdullah di Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini, pada Jumaat.

Raja Mohamed Affandi berkata memandangkan jarak sempadan itu yang panjang dari Jeli hingga Pengkalan Kubor, Tumpat, tugasan mengawal sempadan pastinya sukar.

Sungai Golok yang berada di sempadan Malaysia dan Thailand, di Kelantan itu, kini paras airnya semakin susut berikutan fenomena El Nino, sehingga sesetengah lokasi boleh dilalui pejalan kaki.

Mengenai Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11, beliau berkata ATM akan turut  membantu melicinkan perjalanan proses pilihan raya melalui pasukan Divisyen Pertama Infantri Malaysia dengan keanggotaan antara 12,000 dan 13,000 orang.

"Di Sabah pun, kita bersiap siaga membantu jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Namun begitu, kita percaya keadaan sekarang baik," katanya.

Sementara itu, Ab Aziz yang bersara selepas 40 tahun bertugas sebagai anggota tentera berkata beliau memilih 16 RAMD sebagai majlis persaraan beliau kerana di sini kerjayanya bermula.

Ab Aziz yang berasal dari Tok Uban, Pasir Mas, berkata sepanjang kariernya sudah banyak pengalaman diperoleh termasuklah di sempadan Malaysia-Thailand dan pelbagai operasi termasuk ketika musim banjir.

Sungai Golok, Kelantan, ATM

Artikel Lain