suria

Rancang Tanam 7.8 Bilion Pokok Sempena Hari Bumi Ke-50 Menjelang 2020

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bersama wakil Civil Society Organisation (CSO) dari Sri Lanka mengambil bahagian dalam kempen penanaman pokok sempena Hari Bumi 2016 sebagai usaha menanam 7.8 bilion pokok di seluruh dunia menjelang 2020.

Naib Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata bumi kehilangan lebih 15 bilion pokok setiap tahun disebabkan pembangunan, pembalakan, perladangan berskala besar, perbandaran dan projek jalan raya.

"Kita bertanggungjawab untuk menghentikan penebangan pokok sewenang-wenangnya dan mula menanam lebih banyak pokok.

"Sempena ulang tahun ke-50 Hari Bumi pada tahun 2020, Rangkaian Hari Bumi menetapkan tema 'Pokok untuk Bumi' sebagai rancangan untuk menanam 7.8 bilion pokok menjelang 2020," katanya selepas acara penanaman pokok di Pusat Agro Pelancongan Relau di sini, Jumaat.

Mohideen berkata penanaman pokok juga adalah sebagai usaha untuk mengurangkan karbon dioksida yang berlebihan dan berbahaya kepada atmosfera.

Sementara itu, wakil CSO Kamal Abeysimghe berkata Hari Bumi itu adalah satu usaha bijak bagi mengatasi masalah pemanasan global yang berlaku di seluruh dunia.

"Walaupun seorang hanya perlu menanam satu pokok, ia cukup memberi kesan kepada bumi bagi menyerap karbon dioksida," katanya.-- Bernama



CAP, Hari Bumi, Kamal Abeysimghe

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain