suria

El Nino:Semua Sekolah Di Perlis, Jerantut Dan Temerloh Di Pahang Tutup Esok

KUALA LUMPUR: Semua sekolah di negeri Perlis, daerah Jerantut dan Temerloh di Pahang ditutup esok berikutan cuaca panas dan kering akibat fenomena El Nino yang melanda negara sekarang.

Kementerian Pendidikan berkata pemantauan terhadap cuaca kering dan panas itu mendapati kawasan berkenaan mencatat bacaan suhu tertinggi melebihi 37C pada satu-satu masa, dalam tempoh tiga hari berturut-turut.

"Penutupan itu adalah sebagai langkah penjagaan kesihatan murid semasa cuaca panas, yang akan melibatkan sejumlah 259 sekolah iaitu 68 sekolah menengah dan 191 sekolah rendah.

"Jumlah murid terlibat adalah seramai 97,533 orang iaitu 91,862 orang murid sekolah menengah dan rendah serta seramai 5,671 orang murid prasekolah," kata kementerian dalam kenyataan di sini, Khamis. 

Bagaimanapun, penutupan sekolah itu hanya melibatkan ketidakhadiran murid dan pelajar serta tidak perlu diganti. 

"Operasi pentadbiran sekolah, kecuali aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) murid, hendaklah berjalan seperti biasa.

"Semua guru dan kakitangan sekolah hendaklah hadir ke sekolah masing-masing dan bertugas seperti biasa termasuklah tugas-tugas rutin dan lain-lain tugas yang tidak melibatkan murid-murid," kata Kementerian Pendidikan.

Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah terlibat hendaklah memantau bagi memastikan pematuhan terhadap arahan penutupan itu.

Kementerian Pendidikan juga meminta kerjasama ibu bapa dan penjaga supaya mengawal pergerakan dan aktiviti anak-anak di bawah jagaan masing-masing semasa tempoh penutupan sekolah itu.-- Bernama

Jerantut, Temerloh, El-Nino, Rosdi Ismail

Artikel Lain