suria

93 KPI Semua Kementerian Bagi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Tahun Ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputra di Bangunan Perdana Putra, Khamis.

PUTRAJAYA: Sebanyak 93 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) ditetapkan untuk 25 kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata KPI yang diperakukan oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) itu dilihat mempunyai impak yang lebih tinggi, lebih bersifat berasaskan hasil dengan sasaran yang lebih tinggi berbanding tahun lepas.

Antara KPI yang ditetapkan bagi 2016 ialah mencapai 50.6 peratus nilai kontrak bumiputera pada 2017 dalam projek MRT1 berbanding keseluruhan kos projek berkenaan dan mencapai 25 peratus nilai kontrak bumiputera berbanding keseluruhan kos projek KL118 Tower (Warisan Merdeka).

KPI lain bagi tahun ini ialah 30 peratus agihan kepada kontraktor bumiputera dan projek pembinaan lebuh raya-lebuh raya utama dan satu penghasilan kajian pembangunan kerangka operasi dan pelan perniagaan Perbadanan Wakaf Nasional Bhd.

Projek lebuh raya utama itu adalah seperti Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Duta Ulu Klang Expressway 2 (DUKE2), Lebuh Raya Ekspres Lembah Klang Timur (EKVE) dan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Berucap selepas mempengerusikan mesyuarat MEB di Perdana Putra di sini, Khamis, Najib memaklumkan 20 kementerian telah berjaya mencapai sasaran 100 peratus bagi 98 KPI yang ditetapkan MEB pada tahun lepas.

Kesemua 25 kementerian termasuk JPM, kata beliau, telah mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus KPI PEB yang telah ditetapkan pada 2015.

"Penetapan KPI ini adalah penting dalam memastikan Agenda PEB sebagai agenda nasional yang dilaksanakan secara sistematik dan berkesan," kata Perdana Menteri.

Antara pencapaian utama pelaksanaan PEB pada tahun lepas ialah bilangan syarikat vendor dan teras dalam Program Pembangunan Vendor ditingkatkan daripada 68 syarikat pada 2014 kepada 90 syarikat pada 2015 dan pemindahan teknologi kepada bumiputera dengan nilai kontrak kira-kira RM120.8 juta dan penjenamaan nilai pasaran sebanyak RM2.3 bilion, kata beliau.

"Impak pelaksanaan bagi kesemua KPI PEB ini dapat melonjakkan ekonomi  masyarakat bumiputera dan seterusnya membantu merealisasikan hasrat kerajaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Perdana Menteri turut berkongsi perkembangan dan laporan prestasi pelajar tajaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera bagi pengajian pensijilan perakaunan profesional seperti CAT, CBA, CFAB, ACCA, CIMA, CPA Australia, ICAEW dan MICPA-CAANZ yang menunjukkan purata peratusan memberangsangkan.

"Kelulusan pelajar tajaan Yayasan Peneraju bagi kesemua pensijilan tersebut adalah sebanyak 75.3 peratus berbanding kadar purata kelulusan global sebanyak 67.6 peratus," kata beliau.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kolaborasi strategik antara Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dengan Yayasan Pahang menerusi program Peneraju Profesional Akauntan Muda di bawah Skim Yayasan Pahang dengan kos RM1.2 juta.-- Bernama

KPI, PEB, Perdana Menteri

Artikel Lain