suria

PRN Sarawak: Gagal Dipilih Calon, Naib Pengerusi PKR Sarawak Letak Jawatan

Boniface Willy Tumek

KUCHING: Persiapan PKR untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 menerima tamparan apabila Naib Pengerusi negerinya, Boniface Willy Tumek, meninggalkan parti itu.

Beliau bertindak demikian apabila PKR tidak memilihnya menjadi calon pada pilihan raya 7 Mei itu, dan pengerusi PKR Sarawak Baru Bian hari ini berkata perkembangan itu menyebabkan parti itu bakal kehilangan sumbangan Tumek.

"Kami akan benar-benar berasa kehilangannya kerana beliau telah mempamerkan kepimpinan yang berkualiti dan saya berpendapat beliau adalah seorang lelaki yang berintegriti, sebab itulah kami mencadangkan beliau menjadi seorang daripada naib pengerusi (PKR) negeri," katanya pada sidang berita di sini, Khamis.

Dalam kenyataan itu, Tumek, 59, berkata beliau mengemukakan surat peletakan jawatannya pada Ahad lepas setelah PKR gagal mendapatkan jaminan untuk beliau menjadi calon bagi Tasik Biru, kawasan yang terletak di Bau dekat sini, dan sebaliknya bersetuju supaya DAP bertanding kerusi itu.

Ini dilakukan setelah menamakan saya sebagai calon berpotensi bagi parti itu, dan walaupun tinjauan pendapat umum menunjukkan PKR mendapat lebih banyak sokongan di Tasik Biru berbanding DAP," kata Tumek dalam kenyataan.

Tumek berkata dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013, PKR juga mengalah kepada DAP bagi mendapatkan pencalonan beliau untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Mas Gading.

Watikah untuk saya bertanding dalam pilihan raya itu mewakili PKR ditarik balik pada petang menjelang hari penamaan calon untuk memberi laluan kepada DAP, rakan kami dalam PR (Pakatan Rakyat ketika itu) supaya bertanding di Mas Gading," katanya.

Beliau berkata kedudukan PKR dalam rundingan yang sedang diadakan mengenai peruntukan kerusi dalam kalangan pembangkang adalah umpama 'seorang anak kecil yang mencuba sedaya upaya untuk terus selamat dalam persekitaran yang dihimpit permusuhan.'

Pengagihan kerusi antara dua parti itu belum dapat diselesaikan, walaupun hari penamaan calon bakal menjelang empat hari lagi kerana mereka terus membuat tuntutan bertindih untuk bertanding.

PKR menuntut untuk bertanding di 40 kawasan manakala DAP mahukan 29 kawasan pada pilihan raya kali ini, dan daripada jumlah itu, terdapat tuntutan bertindih bagi sekurang-kurangnya lima kerusi.  -- Bernama


PRN Sarawak, PKR

Artikel Lain