suria

Larangan Masuk Sarawak: Hormat Keputusan Kerajaan Negeri - Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
BETONG: Semua pihak perlu menghormati keputusan kerajaan negeri Sarawak yang menghalang individu tertentu daripada masuk ke negeri itu atas alasan boleh menggugat keharmonian rakyat, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata larangan itu adalah hak kerajaan negeri Sarawak, dan ia bertujuan menjaga kepentingan dan juga melindungi negeri daripada anasir negatif yang boleh mengugat keamanan dan kemakmuran.

"Kerajaan negeri Sarawak berhak untuk menyekat sesiapa sahaja sama ada pembangkang atau dari parti Umno demi menjaga kepentingan dan perpaduan rakyat, ini adalah hak kerajaan negeri Sarawak.

"Saya berharap semua pihak akan menghormati hak dan juga keputusan yang dibuat kerajaan negeri Sarawak. Jangan mempersoalnya (larangan)," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek pembinaan Jalan Linsum/Jelang/Luing/Kerapa, di sini Ahad.

Hadir sama ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)Bukit Saban dan calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Layar Gerald Rentap Jabu bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-11, 7 Mei ini.

Baru-baru ini beberapa pemimpin DAP dilarang masuk ke Sarawak termasuk Setiausaha Penganjur DAP Anthony Loke, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, dan ahli parti yang juga pencipta maskot Ubah, Ooi Leng Hang.

Selain itu, turut dihalang memasuki Sarawak ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Exco Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassim, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan yang juga Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin, dan yang terbaru beberapa hari lepas Ketua Umno Sungai Besar yang juga Ketua Gerakan Merah, Jamal Md Yunos.

Semalam, Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Abang Tun Openg berkata tindakan melarang kemasukan beberapa individu itu adalah bersandarkan kuasa imigresen yang diperuntukkan kepada kerajaan negeri mengikut Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau dilaporkan berkata keputusan kerajaan negeri Sarawak itu tidak boleh dipertikai sama sekali.

Artikel Berikut

Artikel Lain