suria

Gempa Bumi: 11 Pelajar Malaysia Selamat Tiba Di Fukuoka

Situasi di daerah Kumamoto, Jepun yang dilanda gempa bumi pada Khamis lepas. -fotoAFP
PUTRAJAYA: Sebanyak 11 dari kesemua 18 pelajar Malaysia di daerah Kumamoto, Jepun yang dilanda gempa bumi pada Khamis lepas telah dipindahkan dan selamat tiba di Fukuoka, menurut kenyataan Wisma Putra.

Baki tujuh lagi pelajar masih berada di pusat evakuasi masing-masing dan sedang menunggu arahan seterusnya daripada pihak berkuasa, menurut kenyataan itu.

"Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Tokyo sedang memantau situasi  dan akan memaklumkan perkembangan kejadian ini dari semasa ke semasa," katanya.

Susulan insiden gempa bumi berukuran 6.5 skala Richter yang melanda Kumamoto pada Khamis lepas, satu lagi gempa yang lebih kuat berukuran 7.3 skala Richter dilaporkan melanda daerah sama semalam pada kira-kira 1.25 pagi waktu tempatan.

Gempa bumi pertama dilaporkan telah mengakibatkan sembilan nyawa terkorban, manakala gempa kedua telah meragut 23 nyawa, menjadikan jumlah korban setakat ini sebanyak 32 orang.

Sebanyak 70,000 orang telah dipindahkan ke pusat-pusat evakuasi atas arahan pihak berkuasa, manakala sebanyak 200,000 buah rumah telah terputus bekalan elektrik.

Kerajaan Jepun telah mengumumkan akan menghantar sebanyak 20,000 anggota  pasukan pertahanan diri serta 5,500 anggota polis, anggota bomba dan penyelamat ke daerah Kumamoto pada hari ini (17 April) bagi membantu mangsa gempa bumi itu.

Artikel Lain