suria

SUPP Tidak Puas Hati Calon Langsung BN

Dr Sim Kui Hian

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akhirnya meluahkan rasa tidak puas hati mengenai kehilangan kerusi kepada parti serpihan mereka - Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Menerusi kenyataan, Presiden SUPP, Senator Datuk Dr Sim Kui Hian mendakwa cadangan mengenai pencalonan telah dikemukakan kepada Tan Sri Adenan Satem.

"Walaupun kita tidak bersetuju dengan konsep calon langsung Barisan, pendirian kami telah ditolak oleh Ketua Menteri. Kami kecewa dengan peruntukan kerusi kepada calon langsung Barisan," kata Sim.

Beliau berkata parti itu kecewa apabila kehilangan kerusi DUN Pujut kepada wakil UPP.

"Tetapi kita menyedari bahawa ia adalah prerogatif (Ketua Menteri)," katanya.

Beliau bagaimanapun menggesa ahli-ahli parti supaya kekal bersatu "demi untuk mengekalkan kuasa" dan "perjuangan jangka panjang".

Terdahulu Adenan mengumumkan nama lima lagi calon langsung Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri ke-11 akan datang.

Empat daripada mereka adalah daripada UPP, manakala seorang lagi adalah bekas anggota SPDP.

Mendahului senarai calon UPP ialah presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh, yang akan mempertahankan kerusi Bawang Assan.

Wong ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti dan Menteri Kewangan Kedua.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Datuk Tiong Thai King akan bertanding bagi kerusi Dudong, yang disandang Yap Hoi Liong daripada DAP, manakala Ranum Mina akan mempertahankan kerusi Opar.

Muka baharu, ahli perniagaan Datuk Hii King Chiong, akan bertanding di kawasan Pujut, yang sekarang disandang anggota Bebas, Fong Pau Teck, bekas anggota DAP.

SUPP, UPP, PRN Sarawak

Artikel Lain