suria

Tiada Kes Pemalsuan MyKad Struktur Baharu Setakat ini - JPN

PUTRAJAYA: Belum ada kes pemalsuan MyKad struktur baru dikesan sejak 'Ops ID' dilaksanakan di seluruh negara pada Oktober 2013, demikian menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

JPN dalam kenyataan pada Selasa berkata, sebanyak 41 operasi telah dilaksanakan melibatkan 74 tangkapan membabitkan premis bank, pusat membeli-belah dan premis jualan lain.

"Daripada 74 tangkapan itu, 50 merupakan kes penggunaan kad pengenalan palsu manakala 24 pula kes menggunakan kad pengenalan milik orang lain. 

"Daripada jumlah itu, 68 merupakan warga Filipina, lima warga Indonesia dan seorang individu tiada negara. Sebanyak 68 lelaki dan enam perempuan ditangkap," tambah kenyataan itu. 

Menurut JPN, kesemua pesalah ditahan mengikut Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.  

Ops ID merupakan operasi yang berterusan dan dijalankan dari semasa ke semasa bertujuan menyemak dokumen pengenalan diri individu khususnya pengawal keselamatan melalui kaedah biometrik, tambahnya. 

Menurut kenyataan itu, kaedah berkenaan dihubungkan secara dalam talian dengan pangkalan data JPN bagi memastikan dokumen pengenalan diri yang dipegang dan dimiliki adalah tulen dan sahih. 

Minggu lepas tiga pengawal keselamatan warga asing di sebuah taman perumahan di Temasya Glenmarie, Shah Alam, Selangor ditahan kerana disyaki menggunakan MyKad palsu.-- Bernama


Artikel Lain