suria

UTeM Akur, Tidak Jadi Tuan Rumah Untuk Forum Dr Zakir

Profesor Dr Shahrin Sahibuddin
PETALING JAYA: Seperti mana yang diarahkan oleh pihak polis, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tidak akan menjadi tuan rumah kepada forum yang melibatkan pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik pada 17 April ini.

Naib Canselor UTeM Profesor Dr Shahrin Sahibuddin berkata mereka akan mendengar gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Kami berpendapat bahawa ini adalah satu program yang baik dan penglibatan kita adalah sebagai tuan rumah, bukan sebagai penganjur.

"Berikutan bantahan dan laporan polis terhadap program ini, UTeM telah menerima maklum balas dan arahan daripada pihak polis.

"Tan Sri Khalid Abu Bakar juga telah berkata bahawa program ini patut dibatalkan disebabkan isu-isu keselamatan dan menghormati keharmonian negara.

"Oleh itu, berdasarkan sebab-sebab ini, UTeM tidak akan menjadi tuan rumah untuk program itu pada tarikh tersebut," kata Shahrin.

Forum 'Similarities Between Hinduism and Islam' (Persamaan Antara Hindu dan Islam) dijadualkan diadakan di UTeM pada 17 April ini.

Kehadiran Dr Zakir di Malaysia menimbulkan kurang senang banyak pihak, dengan Pemuda MIC dilaporkan membuat beberapa laporan polis terhadapnya.

Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) juga meminta kerajaan supaya melarang pendakwah itu daripada memasuki negara ini.

Dr Zakir yang merupakan Presiden Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) memulakan siri dakwahnya di Terengganu pada minggu lalu, dengan jemputan daripada kerajaan negeri.

Beliau dijadualkan terlibat dalam forum "Is the Quran God's Word" di stadium hoki di Bukit Jalil pada 16 April ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain