suria

Pengendali Makanan Bakal Disenarai Hitam

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan akan menyenarai hitam mana-mana syarikat atau pengendali makanan dan minuman yang menyebabkan keracunan makanan.

Menegaskan demikian, Timbalan Menteri Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata mereka yang berkenaan tidak dibenarkan beroperasi berkuatkuasa serta-merta.

Katanya, arahan itu dikeluarkan selepas penularan kes keracunan makanan didapati semakin membimbangkan. 

"Masalah keracunan makanan ini berlaku apabila pengurusan syarikat atau pengendali berkenaan gagal mematuhi Akta Makanan dan peraturan pengendalian makanan yang ditetapkan," katanya.  

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) di Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau di sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Induk program JPB, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Pada 3 April lepas, 43 orang pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Sains Tapah di Perak keracunan makanan selepas dikatakan memakan roti jala dan kari ayam di sekolah itu.    

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berkata, pihaknya kini giat membanteras penularan penyakit Tuberculosis (tibi) atau batuk kering.  

Lebih 24,000 kes baharu dilaporkan sepanjang tahun lepas - 1,696 orang daripadanya maut. 

Katanya, "Walaupun kes tibi dapat dikurangkan sebelum ini, wujud trend peningkatan sejak akhir-akhir ini. 

"Pelbagai punca peningkatan tibi antaranya ketahanan kuman terhadap rawatan kimoterapi dan ubat, selain kemasukan Pati ke negara ini yang tidak menjalani saringan kesihatan," katanya. 

Justeru, beliau meminta semua pihak termasuk majikan bersama menangani penyakit tibi dengan tidak menggaji Pati yang tidak diketahui status kesihatan mereka.-Bernama

Keracunan makanan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain