suria

Adenan Mahu Calon Terus BN Letak Jawatan Dalam Parti

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mahu calon-calon terus Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-11 melepaskan jawatan dalam parti politik masing-masing.

"Saya mencadangkan mereka melepaskan jawatan dalam parti," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas merasmikan forum belia yang dihadiri oleh kira-kira 2,500 belia dari seluruh negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, Sabtu.

Beliau mentakrifkan calon terus BN sebagai seorang yang dipilih untuk mewakili BN dan kemudian diberi keistimewaan untuk bertanding menggunakan lambang "Dacing" BN. 

"Terserah kepada mereka untuk membuat keputusan kemudian selepas menang, untuk menyertai mana-mana parti komponen BN yang menjadi pilihan mereka.

"Tetapi mereka harus kekal pro BN kerana lambang BN yang membantu mereka menang," kata beliau.

Adenan bagaimanapun tidak mahu memberi komen tentang apa yang akan berlakujika calon yang menang membuat keputusan untuk tidak menyertai mana-mana parti kemudian.

Baru-baru ini sebuah parti yang mesra BN, Parti Rakyat Bersatu (UPP) menyatakan bahawa anggota dan pemimpinnya yang dipilih sebagai calon pilihanraya tidak akan melepaskan jawatan dalam parti.

Terdahulu semasa menjawab soalan pada forum, beliau berkata kerajaan negeri bukan sahaja melarang ahli politik tetapi juga bukan ahli politik luar melawat Sarawak jika mereka datang untuk "meracuni rakyat untuk membenci antara satu sama lain."

Beliau berkata Sarawak ialah negeri paling aman dan harmoni di Malaysia walaupun penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Saya tidak mahu ini diganggu. Sebab itulah kerajaan bukan sahaja melarang ahli politik tetapi juga fanatik agama dan ekstremis perkauman," katanya.-Bernama

Artikel Lain